Search

Isu 40 peratus: Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu jadi tumpuan

May 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dipenuhi orang ramai berikutan prosiding Mahkamah Rayuan berkaitan isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah pada hari ini.

Prosiding itu bagi mendengar rayuan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada November 2022 yang membenarkan semakan kehakiman difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berkaitan isu 40 peratus.

Prosiding yang bermula kira-kira jam 10 menarik perhatian pemimpin parti politik tempatan yang hadir bersama pengikut masing-masing sejak awal pagi tadi.

Antara yang kelihatan ialah tiga bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut kelihatan ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Kehormat Pertubuham Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili etnik anak negeri turut kelihatan berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Polis turut mengetatkan kawalan di pintu masuk mahkamah dan mengehadkan individu yang dibenarkan mengikuti prosiding. – Info X