KOTA KINABALU: XIOKK Entertainment, sebuah syarikat rakaman baharu di Sabah, hari ini, mengumumkan debut kumpulan wanita baru mereka iaitu SMDX (Sumandax).
SMDX dibarisi tiga gadis dari Sabah iaitu bekas Unduk Ngadau Labuan, Crystal Vanessa John, bekas Unduk Ngadau Likas, Deveygrayc dan seorang penari tempatan, Elle Thong.
Untuk lagu debut mereka, SMDX membawa lagu Original Sabahan, sebuah lagu yang tidak asing lagi bagi orang Sabah dan juga di seluruh Malaysia.
Lagu ciptaan Hezron Rayner itu diberi nafas baru dan dijadikan lebih rancak oleh produser tempatan Sa.tugram dan bahagian rap ditulis oleh penyanyi rap tempatan, Yunk-G.
Walaupun SMDX merupakan produk pertama XIOKK Entertainment di Sabah, namun syarikat berkenaan mempunyai visi yang cukup besar untuk menembusi dan membangunkan industri muzik Sabah.
Sehubungan itu, XIOKK bakal aktif dalam mengeluarkan lagu-lagu dalam bahasa Sabah, Dusun dan juga Kadazan.
XIOKK merupakan anak syarikat XENO Entertainment yang juga merupakan label dan syarikat pengurusan kepada artis-artis popular tanah air seperti Ayda Jebat, Elizabeth Tan, Alyssa Dezek, Intan Najuwa dan ramai lagi.
Selain Sabah, XENO juga telah menerajui pasaran lagu Dayak di Sarawak dengan anak syarikat mereka yang satu lagi iaitu XIBO Entertainment di mana baru-baru ini mereka telah mengeluarkan lagu Iban pertama yang berjaya tercalon dalam Muzik-Muzik 39.
Muzik Video SMDX – Original Sabahan dihasilkan Huntwo Studios, diketuai Hanafi Juhar sebagai produser serta diarahkan oleh Elvin Romeo, ditaja oleh Hotlink, sebuah syarikat telekomunikasi yang terkenal di Malaysia.
Pakaian-pakaian SMDX di dalam muzik video ini juga ditaja oleh BEHATI, yang merupakan jenama fesyen dari Malaysia yang baru sahaja mengeluarkan koleksi Borneo mereka. – Info X