SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai barangan kosmetik bernilai RM320,540 yang cuba diseludup ke daerah ini melalui kawasan laut Kampung Kuala Bibang, di sini, kelmarin.
Semua barangan berkenaan dirampas hasil pemeriksaan anggota PPM Semporna selepas terserempak dengan dua bot laju dalam keadaan mencurigakan pada jam 8.30 malam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, bertindak atas maklumat, bot PPM yang melaksanakan rondaan terserempak dua bot laju dan ketika cuba menghampiri, kedua-dua bot memecut melarikan diri.
“Ketika mengejar hampir 20 minit, kelihatan suspek bertindak membuang beberapa barangan daripada bot lalu memecut laju dan menghilangkan diri.
“Usaha mengejar yang dilakukan tidak berhasil kerana keadaan yang gelap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad berkata, seterusnya tindakan mencari dan mengesan barangan yang dibuang menemui sebanyak 10 kotak besar yang berisi barangan kosmetik.

“Pasukan operasi kemudian memasuki semula untuk menbuat pemeriksaan lanjut di dalam kawasan paya bakau Kampung Kuala Bibang dan menemui dua bot yang diikat di pokok bakau.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu menemui muatan 70 kotak besar berisi barangan kosmetik,” katanya.
Menurutnya, nilai semua barangan kosmetik yang dipercayai diseludup dari negara Filipina berjumlah RM320,540.
“Semua rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes dirujuk ke Jabatan Farmasi Tawau dan disiasat mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya. – Info X