Search

Remaja perempuan lemas terjatuh sungai ketika mencuci pakaian

February 28, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang remaja perempuan ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai ketika mencuci pakaian di Sungai Ansip, di sini, petang tadi.

Mangsa Juliana Gabriel, 17, ditemui pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, jam 7.18 malam.

Ketua BBP Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.12 petang.

Katanya, sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 10 anggota termasuk pegawai digerakkan ke tempat kejadian.

“Menurut maklumat saksi, mangsa sedang menjalankan aktiviti mencuci pakaian sebelum tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.

“Setibanya di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah surface water rescue dan selaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba mengangkat mangsa selepas ditemui lemas di Sungai Ansip, Keningau. – Foto/Bomba

Sharudy berkata, pasukan bomba berjaya menemui mangsa pada jarak tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh.

“Mangsa ditemui pada kedalaman tiga meter dan juga tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh di sungai berkenaan,” katanya.

“Mangsa kemudian diangkat naik ke daratan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat pada jam 9.20 malam ini. – Info X