TAWAU: Taktik penyeludupan menjadikan pondok sebagai stor penyimpanan sementara rokok yang diseludup masuk dari negara jiran, terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Serbuan dilakukan PPM Tawau dari Unit Risikan Marin ketika menjalankan tugas Op Terancang/Gelora Khas Kontraban di perkampungan atas air Icebox, Kampung Titingan, di sini, jam 3.30 pagi.
Ketika membuat rondaan dan pemantauan, memeriksa sebuah pondok yang disyaki dijadikan sebagai stor tempat penyimpanan sementara rokok yang diseludup masuk dari negara jiran.
Pemeriksaan ke atas stor itu didapati terkunci dan tiada individu yang berdekatan kawasan berkenaan.

Pasukan operasi kemudian membuka mangga pintu stori dan menemui banyak kotak dan plastik yang mengandungi rokok tidak bercukai.
Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas bernilai hampir RM400,000.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan.

Katanya, semua rampasan dibawa ke pejabat PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
“Rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Kastam Tawau untuk tindakan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X