Search

PPM Sabah gempur penyeludupan, rampas lebih RM182,000

March 10, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Aktiviti penyeludupan di Pantai Timur Sabah terus digempur apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan beberapa kegiatan menyeleweng barang kawalan serta rokok seludup menerusi operasi serentak di Semporna, Tawau dan Lahad Datu, semalam.

Dalam operasi di Kampung Halo, Semporna, pasukan PPM menyerbu sebuah rumah tidak bernombor atas air sebelum menemukan 52 tong berkapasiti 25 liter berisi minyak petrol.

Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bot laju berwarna hijau di kawasan berkenaan turut menemukan lapan tong berkapasiti 30 liter berisi minyak petrol bersubsidi yang disimpan di dalam ruangan bot.

Rampasan rokok seludup di kawasan Pasar Ikan Lahad Datu.

Seorang lelaki warga asing ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah bagi memiliki barang kawalan terbabit dan minyak petrol itu dipercayai untuk tujuan diseleweng atau diseludup ke negara jiran.

Nilai rampasan dalam operasi itu dianggarkan RM75,761.80.

Sementara itu di Tawau, pasukan operasi mengesan sebuah Toyota Hilux Single Cab yang mencurigakan di sebuah stesen minyak di kawasan Buraqoil.

Lelaki ditahan dan merampas petrol di stesen minyak di Tawau.

Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan tujuh jerikin berisi minyak petrol dengan anggaran keseluruhan 157 liter yang disimpan di bahagian belakang kenderaan selepas selesai diisi.

Pemandu kenderaan yang juga seorang lelaki tempatan ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen kelulusan atau permit kebenaran daripada pihak berkuasa untuk memiliki barang kawalan berkenaan.

Nilai rampasan dianggarkan RM88,560.00.
Dalam operasi berasingan di Lahad Datu, pasukan PPM yang menjalankan pemantauan di kawasan pasar ikan terserempak dengan dua individu yang sedang memunggah plastik hitam dipercayai mengandungi rokok seludup.

Rampasan petrol di perkampungan atas air, Kampung Halo Semporna.

Bagaimanapun, kedua-dua individu itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Pemeriksaan di lokasi menemui beberapa plastik hitam mengandungi karton rokok pelbagai jenis tanpa cukai yang dipercayai diseludup dari negara jiran dengan nilai rampasan dianggarkan RM18,420.00.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, semua rampasan dan tangkapan dalam operasi berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM182,741.80.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi serta memperketat kawalan di kawasan perairan dan pesisir pantai negeri ini bagi mengekang kegiatan penyeludupan yang menyalahi undang-undang. – Info X