Search

PPM serbu rumah, rampas 166 karton minuman keras

April 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 166 karton minuman keras yang dipercayai diseludup dalam serbuan terhadap sebuah rumah di Taman Semaju, Tamparuli, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, semua minuman keras yang disyaki tidak bercukai pelbagai jenama berkenaan dianggarkan bernilai RM27,148.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi Op Khas Aidilfitri berkenaan dilancarkan berdasarkan maklumat awam.

Katanya, hasil intipan selama dua jam, pasukan operasi terus menyerbu rumah berkenaan dan menemui 166 karton minuman keras pelbagai jenama.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemui longgokkan minuman keras pelbagai jenis yang disyaki tidak bercukai

“Antara jenama minuman keras yang ditemui ialah Sea Pearl (60 karton), Anchor (50 karton), Chal’als Draught Biru (40 karton) dan Chal’s Draught Hijau (16 karton),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Minuman keras tanpa cukai dirampas dalam serbuan Op Khas Aidilfitri di Tamparuli.

Ahmad berkata, tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan ekoran semasa serbuan, rumah berkenaan ditinggalkan dalam keadaan pagar tidak bertutup dan pintu kaca rumah juga tidak berkunci.

Katanya, pihaknya juga menunggu lebih dua jam di rumah berkenaan namun tiada pemilik yang tampil menuntut semua barangan berkenaan.

“Pasukan operasi terus merampas semua barangan berkenaan untuk siasatan mengikut Akta Kastam.

“Semua minuman tersebut dibawa ke Pejabat PPM Kota Kinabalu untuk laporan polis dan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Info X