Search

4 rumah terjejas akibat kebakaran longgokan barang terpakai

April 3, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Empat rumah terjejas dalam kebakaran selepas longgokkan barangan terpakai terbakar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai Putatan, di sini, hari ini.

Kebakaran dapat dikawal selepas penghuni rumah bertindak memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api dan air paip.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.20 tengah hari.

“Bertindak dengan maklumat, sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Ketika ketibaan pihak bomba di lokasi, kebakaran membabitkan empat buah rumah di tingkat tujuh terjejas sebanyak 10 peratus di bahagian luar rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Keadaan luar rumah yang terbakar di PPR Taman Sri Serigai, Putatan.

Menurutnya, kebakaran berlaku akibat daripada kebakaran longgokkan barangan terpakai di luar rumah.

“Api berjaya dipadam oleh penghuni rumah menggunakan alat pemadam api dan air paip.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi keseluruhan ditamatkan jam 1.28 petang,” katanyam – Info X