Search

Tiga institusi kebajikan dan tahfiz terima sumbangan LPATTS sempena Ramadan

April 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga institusi kebajikan dan tahfiz, di Keningau, Ranau dan Kota Marudu menerima sumbangan sempena Majlis Berbuka Puasa Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (LPATTS), di sini, semalam.

Institusi terbabit ialah Pusat Anak Yatim dan Fakir Miskin Al Ain, Keningau yang menerima sumbangan sebanyak RM5,000, diikuti masing-masing RM2,500 diterima Maahad Al Tahfiz Bayu Syahadah, Kampung Bitoon, Ranau dan Pertubuhan Kebajikan Rahmah (Rahmah-C), Kota Marudu.

Sumbangan keseluruhan yang berjumlah RM10,000 itu disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew kepada wakil setiap institusi terbabit.

Pusat Anak Yatim dan Fakir Miskin Al Ain, Keningau diwakili pengerusinya, Hisammuddin Sulaiman, manakala Maahad Al Tahfiz Bayu Syahadah juga diwakil pengerusinya, Nazrey Johani dan Rahmah-C pula diwakili timbalan pengerusinya, Aminula Karim.

Dalam ucapannya, Christina menyifatkan bulan puasa adalah masa untuk melaksanakan kerja kebajikan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kebajikan.

Pengarah LPATTS, Dr Maklarin Lakim, berkata Ranau, Kota Marudu dan Keningau dipilih untuk tanggungjawab sosial korporat lembaga berkenaan sejajar kedudukan tiga daerah itu yang terletak dalam Tapak Warisan Dunia Gunung Kinabalu, Kinabalu Global Geopark dan Crocker Range Biosphere Reserve, menjadikan Sabah pemegang status Triple Crown UNESCO.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Josie Lai Mei Sing; Pengerusi LPATTS, Peter Lintar; Ketua Pegawai Ekaekutif (CEO) Sabah Environmental Trust, Dr Rahimatsah; CEO Sabapak Eco Sdn Bhd, Remysta Taylor dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia dan Organisasi LPATTS, Datuk William Baya. – Info X