KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi apabila menahan 10 lelaki dan merampas 93,100 liter diesel dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Kolombong, Lorong Terap 4, Inanam, Ahad lalu.
Serbuan jam 3.40 petang oleh Markas PPM Kota Kinabalu turut merampas beberapa kenderaan termasuk lori tangki dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah kira-kira 1.4 juta.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, ketika pemeriksaan oleh pasukan serbuan, menemukan beberapa jenis kenderaan di dalam premis yang sedang menjalankan aktiviti memindahkan minyak diesel.
“Hasil siasatan mendapati minyak diesel berkenaan dipindahkan daripada kenderaan ke tangki simpanan dan daripada tangki simpanan ke lori tangki.

“Premis berkenaan disyaki dijadikan tempat penyimpanan minyak diesel bersubsidi yang cuba untuk diselewengkan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen permit atau kebenaran yang sah mengisi dan memiliki bahan bakar diesel daripada pihak Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut pasukan serbuan turut menahan 10 lelaki berusia 27 hingga 62 tahun yang berada di premis berkenaan.
“Jumlah minyak diesel bersubsidi yang dirampas sebanyak 93,100 liter diesel dan beberapa kenderaan termasuk lori tangki.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM1,398,700,” katanya.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan diserah kepada KPDN mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.

Katanya, orang awam dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pelaku.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya. – Info X