Search

Empat lelaki ditahan bersama 3 kilogram syabu di Tawau

January 28, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Empat lelaki termasuk dua warga asing ditahan bersama dadah jenis syabu seberat kira-kira tiga kilogram bernilai RM180,000 dalam dua serbuan berasing di daerah ini, pada Ahad dan tengah malam tadi.

Keempat-empat suspek berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun disyaki pengedar dadah ditahan di Jalan Kuhara dan Jalan Kilometer 60, Semporna – Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, rampasan pertama dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Kuhara, di sini kira-kira jam 5 petang, pada Ahad.

Katanya, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menegsan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di rumah berkenaan.

“Kedua-dua suspek terbabit ditahan dan pemeriksaan di kawasan rumah berkenaan menemukan dua paket plastik warna keemasan mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Jumlah anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah seberat 2,039.64 gram dan kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tiga kilogram syabu bernilai RM180,000 dirampas dalam dua serbuan di Tawau.

Sementara itu, Jasmin berkata rampasan kedua dilakukan di tepi jalan di Kilometer 60 Semporna-Tawau membabitkan dua lelaki, pada jam 12.10 tengah malam tadi.

Katanya, kejayaan rampasan kali kedua itu adalah hasil maklumat daripada tangkapan pertama yang dilakukan oleh pasukan serbuan.

“Ketika serbuan dilakukan di lokasi berkenaan, seorang suspek mencampakkan satu bungkusan yang dipercayai mengandungi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 1,018.41 gram.

“Suspek bersama rakan sejenayah yang dipercayai menjadi pemandu dalam aktiviti pengedaran dadah itu turut ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ujian air kencingnya juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Jasmin berkata, semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952.

“Polis kini sedang giat berusaha mengesan rangkaian pengedaran dadah ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – Info X