Search

Kapal kargo karam: kapten hilang, enam lagi selamat

January 28, 2025

Info X Reporters

LABUAN: Kapten kapal kargo dikhuatiri hilang manakala enam kru selamat selepas kapal kargo dinaiki mereka karam dan terbalik kira-kira 1.8 batu nautika daripada Tanjung Perapat, Lawas, malam tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 10.15 malam dan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 10.45 malam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Labuan, Kepten Izwanhadi Idros berkata, susulan insiden itu Zon Maritim Labuan mengatur gerak dua aset iaitu Kapal Maritim Bestari (KM Bestari) dan Bot Petir 90 untuk membantu operasi menyelamat.

“Setiba di lokasi kira-kira jam 6.30 pagi tadi, KM Bestari menemui kapal kargo dalam keadaan terlingkup dan memang disyaki kapal kargo Salim Enam.

“Enam awak-awak yang berjaya menyelamatkan diri melalui rakit penyelamat telah ditemui oleh bot nelayan. KM Bestari kemudian menyelamatkan semua enam kru berkenaan dan dibawa ke Labuan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Anggota APMM Labuan menemui kapal kargo dalam keadaan terbalik di 1.8 batu nautika daripada Tanjung Perapat, Lawas.

Menurutnya, Kapten kapal karga masih hilang dan dikhuatiri berada di dalam kapal berkenaan.

Katanya, operasi mencari mangsa masih diteruskan membabitkan bantuan pasukan menyelam dari MRSC Kuching dan Sabah di Lokasi kejadian.

“Sahabat marin dan agensi penyelamat yang lain turut membantu dalam operasi pencarian berkenaan.

“Manakala dua daripada enam mangsa yang selamat mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Labuan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, punca kejadian masih dalam siasatan oleh pihak APMM dan Jabatan Laut Malaysia.

“Namun kita dimaklumkan ketika kejadian angin ribut dan petang semalam keadaan cuaca sangat teruk.

“Kapten kapal karga dan semua kru yang berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun adalah warga Indonesia,” katanya. – Info X