Search

Warga emas ditemui rentung dalam stor

January 28, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung dalam kebakaran membabit sebuah stor penyimpanan peralatan berkebun di Kampung Batition, di sini, petang tadi.

Mangsa berusia 75 tahun ditemukan rentung di dalam stor berkenaan sebaik api dipadamkan oleh orang kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.04 petang.

Susulan itu, katanya empat anggota BBP Kota Marudu bersama jentera dengan dibantu empat anggota Pasukan Bomba Sukarela(PBS) Kampung Tingkalanon, dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi didapati sebuah stor penyimpanan peralatan berkebun jenis kekal terbakar 80 peratus. Terdapat seorang mangsa lelaki rentung di dalam stor.

“Kebakaran sudah dipadamkan oleh orang kampung menggunakan air baldi sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada operasi pemadaman dijalankan hanya membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengangkat mangsa dan mengambil maklumat di lokasi.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 6.05 petang,” katanya. – Info X