KOTA KINABALU: Kegiatan menjual pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi termasuk gigi disyaki harimau, beruang dan batu landak terbongkar selepas sebuah premis antik di Jalan Gaya, di sini, diserbu pihak berkuasa, hari ini.
Dalam operasi kira-kira jam 9.45 pagi itu, seorang lelaki tempatan ditahan manakala pelbagai bahagian haiwan hidupan liar dilindungi bernilai lebih RM5.32 juta turut dirampas.
Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dari Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).
Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, hasil serbuan ke atas premis Antique Shop Sdn Bhd itu berjaya menahan seorang lelaki Cina tempatan berusia 52 tahun yang dipercayai pemilik premis.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai bahagian haiwan hidupan liar yang dilindungi termasuk 16 batang gigi disyaki spesies babi hutan, sembilan batang gigi disyaki harimau dan 10 batang gigi disyaki beruang.
“Turut dirampas 13 biji batu landak serta 394 keping sarang burung walit dengan anggaran berat keseluruhan 2.243 kilogram.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM5.32 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil temu bual awal mendapati suspek mengaku membeli sarang burung walit dan batu landak daripada pembekal di kawasan Lintas tanpa lesen atau permit sah.
“Bahagian haiwan hidupan liar yang dilindungi pula dipercayai diperoleh daripada penduduk kampung di Tawau pada harga murah sebelum dijual semula untuk pasaran tempatan sekitar Kota Kinabalu.
“Kesemua barang itu tidak mempunyai sebarang lesen atau permit penyimpanan daripada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah kerana memiliki serta menjual hidupan liar dilindungi tanpa permit sah.
Katanya, suspek bersama rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut. – Info X