TAWAU: Seorang lelaki melecur di kaki kiri selepas rumah didiaminya terbakar 80 peratus dalam kejadian di FGB, Tanjung Batu Laut, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Nazrin Ayan, 35, dilaporkan mengalami kecederaan melecur sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 petang.
Katanya, seramai 16 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Sebaik tiba pada jam 3.15 petang, pasukan mendapati sebuah rumah jenis kekal berukuran 30 kaki x 30 kaki terbakar 80 peratus.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan dan sumber air daripada jentera Water Tanker,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.30 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.05 petang selepas keadaan dipastikan selamat. – Info X