KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095 meter sempena Ekspedisi Mahkota Borneo pada Rabu.
Memetik laporan yang dikongsikan Facebook Kesultanan Pahang, baginda berjaya sampai ke puncak tertinggi di Malaysia dan antara puncak tertinggi Asia Tenggara itu pada jam 8.30 pagi tadi.
Pendakian mengambil masa kira-kira enam jam selepas baginda bersama peserta ekspedisi memulakan pendakian dari checkpoint Panalaban pada jam 2.30 pagi.
Menerusi laporan Facebook Kesultanan Pahang, kejayaan Tengku Mahkota disifatkan bersejarah dan mencerminkan semangat ketahanan fizikal, disiplin serta kecekalan tinggi baginda dalam menjayakan misi Ekspedisi Mahkota Borneo.
Ekspedisi itu turut dilihat sebagai simbol keberanian, perpaduan dan semangat cintakan alam semula jadi, di samping menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk terus mencabar kemampuan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Facebook Kesultanan Pahang menyebut pendakian itu juga menjadi manifestasi komitmen Tengku Mahkota dalam mendekati rakyat serta menyantuni komuniti setempat sepanjang program ekspedisi.

Terdahulu, Tengku Hassanal tiba di Sabah bagi memulakan Ekspedisi Mahkota Borneo pada Isnin lalu dan terus ke Kundasang bagi mendaki Gunung Kinabalu pada Selasa.
Baginda memulakan pendakian dari Pondok Timpohon, Taman Kinabalu pada jam 8 pagi sebelum tiba di Panalaban, Gunung Kinabalu pada jam 3.45 petang, Selasa.
Ekspedisi pendakian baginda diiringi anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dan pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain pegawai dari Majlis Kesultanan Pahang. – Info X