KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mendakwa hanya ada satu sebab mengapa PKR Sabah secara tiba-tiba menuduh Warisan tidak sensitif terhadap bencana banjir di negeri ini, iaitu Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua, berkata bencana banjir sudah berlaku berulang kali di negeri ini, namun baru kali ini PKR Sabah dan ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud menunjukkan keprihatinan.
“Hanya satu sebab mengapa PKR Sabah dan Mustapha secara tiba-tiba menunjukkan keprihatinan mereka terhadap bencana banjir di Sabah yang telahpun berlaku berkali-kali sejak 2020 iaitu kerana PRN akan diadakan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Mustapha pada sidang medianya pada Sabtu yang menuduh Warisan sebagai tidak sensitif dengan bencana banjir di negeri ini kerana mengadakan program parti ketika rakyat sedang ditimpa bencana.
Mustapha antara lain menjelaskan bahawa adalah tidak wajar pemimpin Warisan menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program politik Warisan dan mengaitkannya dengan bencana yang berlaku di Sabah.
Loretto bagaimanapun menegaskan, Warisan adalah salah satu ‘first responder’ yang terawal turun untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada mangsa-mangsa banjir pada minggu lalu.
“Malah ketika banjir terjadi di Penampang dan Papar minggu lalu, Presiden Warisan, Shafie Apdal merupakan pemimpin yang terawal turun melihat keadaan di sana.
“Beliau juga telah memberikan arahan kepada Warisan Bahagian Penampang untuk memasak makanan untuk mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata, sejak 2018 lagi, Warisan merupakan first responder setiap kali banjir terjadi di negeri ini.
Katanya, Shafie juga kerap kali memberikan peringatan kepada ketua-ketua bahagian agar peka dengan tanggungjawab mereka sebagai first responder.
“Maka kebanyakan daripada mereka ini sudah biasa untuk turun tanpa menunggu arahan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
“Bantuan dari Warisan (yang dibantu oleh para sukarelawan dan NGO) kepada mangsa-mangsa banjir juga masih berterusan sehingga ke hari ini.
“Maka tidak ada salahnya jika pada masa yang sama, Warisan meneruskan program politiknya.
“Ini amat berlainan sekali dengan cabang-cabang PKR Sabah yang tidak pernah terlatih untuk menjadi first responder walaupun mereka membentuk Kerajaan Negeri bersama-sama GRS.
“Jika cabang-cabang PKR Sabah sudah terlatih menjadi first responder, maka tidak ada keperluannya untuk PKR Pusat mengeluarkan memo yang mengarahkan ketua-ketua cabang untuk turun membantu mangsa banjir,” katanya.
Sehubungan itu, Loretto berkata adalah tidak salah beliau merumuskan bahawa kepimpinan yang lemah, ketidakpedulian dan ketidakbiasaan ketua-ketua cabang PKR Sabah untuk bertindak sebagai first responder menyebabkan kebanyakan mereka hanya turun padang selepas 48 jam kejadian banjir.
Katanya, ia jelas menunjukkan kelemahan dalam pengurusan daerah oleh GRS termasuk di kawasan yang dikuasai oleh PKR Sabah.
“Tidak ada sebarang perubahan dalam mitigasi banjir sekalipun PKR membentuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
“Sebagai salah sebuah parti yang membentuk Kerajaan Negeri Sabah bersama-sama GRS, PKR Sabah dan khususnya Mustapha tidak boleh melarikan diri dari kegagalan mereka secara kolektif dan bersama untuk menyelesaikan masalah banjir yang berlarutan di negeri ini dengan mencari kesalahan Warisan yang merupakan pembangkang di negeri ini,” katanya. – Info X