Search

PRN17: PH runding dua-dua, GRS dan BN kata Mustapha

September 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah bukan saja bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan pada masa yang sama turut bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu dijelaskan Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud meskipun BN dan GRS tidak bekerjasama setelah pemimpin UMNO Sabah menegaskan tiada kerjasama dengan GRS.

Ahli Parlimen Sepanggar itu menjelaskannya ketika ditanya pendirian akhir PH Sabah, sama ada mahu bekerjasama dengan BN atau GRS pada pilihan raya itu nanti.

Katanya, ketika ini PH masih berunding dengan GRS dan BN mengenai agihan kerusi dan pihaknya berharap dapat meletakkan calon tanpa bertembung dengan GRS.

“Setakat ini, dasarnya kita akan bekerjasama dengan kedua-dua pihak. Dari segi meletakkan calon, contohnya di Inanam, kita mahu kalau boleh BN tidak letak calon dan GRS juga tidak letak calon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kedudukan PH pada PRN17 nanti, iaitu sama ada akan bekerjasama dengan BN seperti diputuskan pemimpin BN sebelum ini atau dengan GRS.

BN sebelum ini memutuskan hanya bekerjasama dengan PH setelah pemimpin UMNO Sabah menyatakan keengganan untuk bekerjasama dengan GRS, manakala GRS pula menyatakan mahu meneruskan kerjasama dengan PH.

Situasi itu menyaksikan keputusan terletak di tangan PH untuk memilih sama ada bekerjasama dengan BN atau GRS, namun kenyataan pemimpin PKR Sabah itu menjelaskan kedudukan PH kini yang tetap bekerjasama dengan BN dan GRS. – Info X