Search

PRN17: 5 pemimpin STAR sah kekal bersama GRS

October 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lima penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sah kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kelima-lima mereka, Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Annuar Ayub (Liawan), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan bersama pada Selasa.

Keputusan itu bermakna mereka menolak tindakan presiden parti mereka, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan membawa STAR bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sekali gus keluar daripada GRS sejak minggu lalu.

Dalam kenyataan bersama itu, kelima-lima mereka turut menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kami akan kekal dengan pendirian untuk terus bersama dengan GRS dan menyokong penuh kepimpinan YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Pada pandangan kami, kestabilan politik negeri dan kesinambungan pembangunan adalah keutamaan di bawah Kerajaan Negeri Sabah yang ada sekarang.

“Dengan demikian, kami berpegang kepada mandat serta kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kami,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Mereka percaya bahawa sebarang keputusan berkaitan dengan hala tuju parti wajar dibincangkan dengan teliti demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Justeru, kami berdiri teguh untuk kekal bersama GRS dan mempertahankan kerusi kami atas lambang GRS sebagai tanda setia kepada mandat rakyat dan demi kestabilan Sabah,” katanya. – Info X