Search

PRN17: Wajarkah GRS diberi peluang kedua – BN

October 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah membangkitkan persoalan sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) wajar diberi peluang untuk memerintah negeri setelah sepenggal menjadi kerajaan.

Ketua Penerangan BNCom Libaran, Shariff Ismarhafiz Sh Abd Rahman, mengetengahkan persoalan yang wajar ditanya rakyat sebelum membuat penilaian dan pilihan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bukan sekadar prosedur politik, ia adalah cerminan kejujuran dan prestasi sebuah kerajaan dan soalan paling penting yang wajar ditanya oleh rakyat hari ini ialah adakah GRS masih layak diberi peluang kedua,” soalnya.

Beliau berkata kerajaan GRS boleh mendabik dada kononnya mencapai 94 peratus kejayaan pelaksanaan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).

Bagaimanapun, beliau menjelaskan hakikatnya rakyat hidup dalam angka yang lebih nyata dan menyakitkan dengan kadar pengangguran Sabah kini mencecah 7.7 peratus, iaitu tertinggi di Malaysia dengan lebih dua kali ganda daripada purata nasional.

“Di sebalik papan tanda kejayaan dan video propaganda, realitinya anak muda Sabah terus terhimpit. Ramai graduan berkelulusan tinggi kini bekerja sambilan di pasar raya, menjadi pemandu e-hailing, atau berhijrah ke Semenanjung demi sesuap rezeki.

“Jika ini hasil daripada 94 peratus kejayaan’, maka Sabah sebenarnya sedang meraikan 94 peratus kegagalan moral dan intelektual sebuah kerajaan.

“GRS lebih cekap mengurus persepsi berbanding menyelesaikan masalah sebenar rakyat. Mereka sibuk membina imej kejayaan di media sosial, tetapi gagal membina ekosistem pekerjaan yang mampan di lapangan.

“Dasar pembangunan tenaga kerja tidak selari dengan keperluan industri, manakala pelaburan bernilai tinggi gagal ditarik masuk dengan konsisten,” katanya.

Beliau mendakwa, Sabah kini berhadapan fenomena ‘kemiskinan peluang’ kerana negeri kaya sumber, tetapi miskin ruang pekerjaan dan masa depan.

Jelasnya, setiap tahun ribuan graduan dilahirkan, namun pasaran kerja tidak mampu menampung mereka.

“Ini bukan sekadar kegagalan ekonomi, tetapi pengkhianatan terhadap harapan generasi muda. Maka, ketika mandat rakyat bakal dikembalikan melalui pembubaran DUN, persoalan yang wajib dijawab oleh GRS ialah – Jika 94 peratus yang kamu dakwa sebagai kejayaanpun gagal menurunkan pengangguran, apa jaminan rakyat perlu percaya kali ini akan berbeza?

“Sabah tidak memerlukan lagi kerajaan yang hidup atas persepsi. Sabah memerlukan pentadbiran berwawasan yang berani melakukan perubahan struktur termasuk menubuhkan Majlis Pembangunan Modal Insan Sabah bagi menyelaras pendidikan, TVET dan keperluan industri sebenar, serta menarik pelaburan bernilai tinggi berasaskan teknologi dan digital.

“Rakyat sudah muak dengan angka kosmetik, 7.7 peratus bukan statistik, ia jeritan rakyat yang hilang keyakinan. Pembubaran DUN kali ini bukan sekadar soal politik, ia peluang rakyat menghentikan kitaran kegagalan,” katanya.

Beliau berkata, GRS boleh terus mengangkat 94 peratus sebagai lambang kejayaan, tetapi sejarah akan mencatat bahawa 94 peratus itu adalah persepsi, manakala hanya 7.7 peratus realiti. – Info X