TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan keputusan rasmi pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dalam masa terdekat.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata agihan kerusi akan ditentukan kepemimpinan tertinggi GRS dan PH.
“Saya yakin Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pesta Kebudayaan Hari Bergembira Etnik Tidung Borneo Sabah 2025, di sini, pada Sabtu.
Katanya, dalam konteks politik semasa, keutamaan harus diberikan kepada suara dan aspirasi rakyat Sabah, selain memastikan kepimpinan negeri diterajui anak tempatan yang faham budaya dan keperluan masyarakat di negeri ini.
Terdahulu, ADUN Apas itu berkata dakwaan mengatakan GRS akan bertanding 52 kerusi, manakala PH 21 kerusi seperti dilaporkan sebelum ini hanyalah spekulasi atau cakap-cakap politik.
“Selagi belum ada pengumuman rasmi, kita anggap ia hanya spekulasi. Perkara seperti ini memang biasa timbul menjelang PRN, namun jangan biarkan ia menjejaskan fokus terhadap usaha pembangunan dan penyatuan rakyat di Sabah,” katanya.
Sementara itu, mengenai pesta kebudayaan etnik Tidung, Nizam berkata, kepelbagaian budaya di Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat.
“Penganjuran pesta seperti ini membuktikan budaya bukan sekadar warisan sejarah tetapi juga elemen penting dalam membentuk jati diri serta memperkukuh persefahaman antara rakyat pelbagai kaum di Sabah.
“Saya berharap pesta ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan sokongan penuh daripada pihak penganjur,” katanya. – Info X