Search

PRN17: BN ambil langkah hati-hati, bukan tutup ruang kerjasama – Suhaimi Nasir

June 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah sekali lagi menjelaskan pendirian untuk mengambil langkah berhati-hati berdasarkan pengalaman sebelum ini dalam membuat keputusan mengenai kerjasama politik dengan parti lain.

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata keputusan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO Sabah itu bukan bermakna penolakan total dalam membentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“UMNO Sabah ingin menjelaskan bahawa pendirian BN Sabah bukanlah satu bentuk penolakan total terhadap kerjasama politik, tetapi satu langkah berhati-hati yang berpaksikan pengalaman masa lalu.

“BN, khususnya UMNO Sabah, tidak menutup ruang untuk kerjasama. Namun, sebarang keputusan untuk membentuk gabungan politik mestilah berpandukan kepada kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan pelajaran daripada sejarah politik yang lalu, khususnya episod PRN16,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau memberi maklum balas terhadap kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun, berkaitan soal kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas BN sebelum ini dilaporkan menolak kerjasama dengan gabungan tempatan itu.

Mengulas lanjut, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, pada PRN16, terdapat kerjasama yang akhirnya membawa implikasi politik merugikan BN, termasuk aspek integriti, kepercayaan dan kejelasan hala tuju bersama.

“Ia bukan sekadar soal perbezaan ideologi, tetapi juga melibatkan isu kejujuran politik dan konsistensi dalam kepemimpinan.

“Oleh itu, pendekatan UMNO dan BN Sabah pada kali ini adalah jelas, segala bentuk kerjasama perlu ditentukan secara objektif, rasional dan strategik bukan terburu-buru, apatah lagi atas dasar keperluan segera politik sesetengah pihak.

“Kami tidak akan mengulangi kesilapan lampau dan kami tidak akan membenarkan UMNO Sabah sekali lagi diposisikan dalam situasi politik yang meminggirkan suara akar umbi kami,” katanya.

Beliau berkata, menentukan masa depan Sabah bukan hanya soal berapa parti yang boleh duduk semeja tetapi lebih penting adalah soal bagaimana gabungan yang dibentuk mampu menjamin kestabilan, integriti dan pembangunan jangka panjang untuk rakyat.

“Justeru, keputusan UMNO dan BN Sabah untuk lebih berhati-hati adalah bersifat konstruktif, bukan konfrontatif,” katanya. – Info X