Search

PRN17: Datuk Fredian Gan bakal calon GRS di Melalap

July 24, 2025

Info X Reporters

TENOM: Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Fredian Gan dinamakan sebagai bakal calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Menerusi satu kenyataan, PBS mengesahkan pemilihan Fredian berdasarkan akar umbi beliau yang kukuh dan rekod kepimpinan yang sudah terbukti demi masa depan kawasan itu.

Pemilihan itu, katanya turut mengambil kira latar belakang Fredian sebagai anak kelahiran Melalap yang mempunyai hubungan erat dengan komuniti Cina dan Murut.

Kelebihan itu dilihat sebagai faktor penyatu yang mampu merapatkan jurang etnik dan memacu inisiatif pembangunan yang amat dinantikan penduduk Melalap.

“Warisan kepimpinan dan khidmat
Datuk Fredian berasal dari keluarga yang dihormati di kawasan itu. Mendiang bapanya adalah seorang usahawan dan tukang jahit perintis yang pernah memegang jawatan pengerusi Dewan Perniagaan Cina Tenom.

“Mendiang juga pernah memimpin lembaga pengurusan sekolah seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa dan Sekolah Menengah Tshung Tsin Tenom.

“Di sebelah ibu pula, beliau adalah cicit kepada Allahyarham Datuk Sanggau Jalang, Ketua Anak Negeri pertama daripada suku Murut Timugon yang dilantik oleh pentadbiran British.

“Keluarga Sanggau masih kekal sebagai salah satu klan yang paling berpengaruh di Melalap, menjadikan Datuk Fredian penghubung budaya yang unik di kawasan itu,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut mengenai adik-beradik Fredian yang aktif dalam pelbagai aktiviti perniagaan di Tenom termasuk mengendalikan restoran, kedai runcit, salun kecantikan dan rambut, selain terbabit dalam perladangan, pengangkutan dan kontraktor.

Katanya, latar belakang keluarga yang kukuh dalam perniagaan tempatan turut mengukuhkan lagi hubungan rapat Fredian dengan masyarakat setempat.

Selain itu, katanya Fredian juga mempunyai pengalaman luas dalam sektor awam dan swasta dengan memulakan kerjaya di Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) dan Standard Chartered Bank sebelum menyertai Perkhidmatan Awam Sabah.

“Sepanjang kerjayanya, beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Pegawai Daerah, Pegawai Daerah, Timbalan Setiausaha Tetap dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Beliau kemudian bersara sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dan kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan POIC Sabah Sdn Bhd, di mana beliau dikenali kerana memimpin pertumbuhan dan inovasi,” katanya.

Kenyataan itu menyebut bahawa PBS menekankan pemilihan Fredian mengambil kira dirinya sebagai anak jati Melalap yang memahami cabaran tempatan, pengalaman luas dalam pelbagai jawatan kepimpinan kerajaan dan korporat, dihormati merentasi kaum oleh pemimpin komuniti dan akar umbi dan seorang penyokong pembangunan Melalap sejak sebelum terlibat dalam politik.

Beliau juga dilihat sebagai calon yang mengutamakan tanggungjawab, bukan cita-cita politik, melambangkan perpaduan antara komuniti Murut dan Cina serta tokoh penting bagi memperkukuh sokongan GRS di kawasan pedalaman.

PBS terlepas kerusi DUN Melalap sejak 2018 apabila penyandangnya ketika itu, Datuk Radin Maleh yang juga bekas Timbalan Presiden PBS tewas di tangan Datuk Peter Anthony yang mewakili Parti Warisan.

Peter kemudian mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket Warisan ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 sebelum keluar parti dan menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Februari 2022.

KDM sudah pasti akan mempertahankan kerusi berkenaan, namun Peter berkemungkinan tidak dapat bertanding berikutan hukuman penjara yang dihadapinya ketika ini. – Info X