Search

Lelaki cederakan isteri ditahan di Balung

July 24, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki mencederakan isterinya dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Balung, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan suami isteri terbabit.

Katanya, suspek berusia 19 tahun dipercayai gagal mengawal emosi lalu bertindak memukul mangsa sehingga menyebabkan kesakitan dan lebam di beberapa bahagian badan.

“Mangsa tampil membuat laporan polis selepas kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan gerai tepi jalan di Jalan Apas Balung.

“Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya. – Info X