Search

PRN17: Dr Joachim serah kepada rakyat Kundasang buat pilihan

October 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam menyerahkan kepada pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang untuk membuat pilihan calon mewakili mereka pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu, berkata sesiapapun boleh bertanding di mana-mana kawasan termasuk di kerusi DUN Kundasang, namun rakyat yang akan menjadi penentu.

“Kita adalah negara demokrasi, di mana sesiapa saja bebas bertanding tetapi akhirnya nanti, rakyatlah yang memilih siapa yang mereka mahu mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony yang menyasarkan Kundasang antara kerusi tumpuan parti itu pada PRN17.

Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, DUN Kundasang semakin pesat membangun, termasuk beberapa projek kini sedang dilaksanakan.

“Antaranya projek menaik taraf jalan raya dari Tarawas/Kaingaran dan dari Singgaron ke Mansalu, bekalan air bersih dari loji Pinawantai Mukim Timbua, bekalan air bersih loji Wayan Mukim Malinsau/Kaingaran dan hampir 85 peratus sudah mendapat bekalan elektrik.

“Bagi projek kecil-kecilan, lebih kurang 75 peratus kampung kini sudah mendapat dewan mini.

“Saya akan pastikan semua jentera pentadbiran dalam DUN Kundasang memberikan khidmat terbaik dan melaporkan kepada saya secara terus memandangkan saya juga diperlukan di peringkat Kerajaan Negeri sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya.

Beliau juga mahu semua pemimpin dan ahli PBS terus bekerja kuat demi parti itu kerana mereka berjuang bersama untuk rakyat Sabah.

Katanya, beliau bersama Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS juga berdiri teguh dengan pendirian akan kekal dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dr Joachim tidak pernah tewas sepanjang lima kali bertanding pada pilihan raya di kerusi DUN Kundasang sejak 2004.

Pada program PKDM di Limbahau, Papar, Ahad lalu, Peter yang juga ADUN Melalap menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan calon PKDM untuk mengalahkan Dr Joachim di Kundasang jika Timbalan Ketua Menteri Sabah itu bertanding semula.

“Jika pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kita berjaya menewaskan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di kerusi Parlimen Kota Marudu, kali ini kita yakin mengalahkan pemangkunya pula di kerusi DUN Kundasang,” katanya. – Info X