PENAMPANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil kira kerjasama politik sedia ada sebelum membuat keputusan mengenai langkah yang akan diambil bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata walaupun ada pemimpin GRS mencadangkan agar gabungan itu bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), belum ada sebarang keputusan dibuat.
Katanya, GRS perlu mengambil kira rakan parti yang sama-sama membentuk kerajaan negeri ketika ini dan usaha untuk membangunkan negeri yang menjadi keutamaan.
“Kita belum buat keputusan lagi. Kita kena fikir semua politik ini. Kawan-kawan kita ada dalam kerajaan.
“Kerajaan ini adalah terdiri daripada beberapa parti termasuk parti nasional, PH dan juga sebahagian daripada Barisan Nasional (BN).
“Jadi, apa yang baik ialah untuk kita sama-sama memikirkan negeri kita supaya terus maju membangun dan bersatu padu,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Agung dan Konvensyen Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah Kali Kedua, di sini, hari ini.
Hajiji ditanya mengenai kenyataan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dilapor mahu GRS bertanding di semua 73 kerusi DUN pada PRN17.
Ditanya mengenai gabungan GRS- PH ketika ini, Hajiji berkata kerjasama yang sudah terjalin itu memang baik untuk diteruskan.
“Memang baik. Kalau boleh kita gabung lagi dengan parti-parti yang lain supaya kita dapat membangunkan negeri kita bersama-sama,” katanya.
Mengenai kemungkinan kerjasama dengan Warisan, Hajiji berkata perkara itu akan difikirkan apabila pihaknya mahu membuat keputusan nanti. – Info X