KOTA KINABALU: Wanita UMNO Sabah berdepan tugas besar untuk mengembalikan kekuatan UMNO di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang semakin hampir.
Cabaran itu diakui ketuanya, Senator Datuk Noraini Idris, yang menekankan perlunya Wanita UMNO Sabah mengukuhkan kedudukan sebagai tunjang parti.
Katanya, PRN17 menjadi tumpuan utama bukan saja di Sabah, malah di seluruh negara selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Kelantan baru-baru ini dan PRK Mahkota di Johor tidak lama lagi.
“Tugas ini bukannya sesuatu yang mudah walaupun Wanita UMNO menerima pujian dari Presiden dalam gerak kerja yang dilakukan semasa PRK Nenggiri, seharusnya Wanita UMNO tidak leka dan berpuas hati dengan pujian tersebut.
“Sebaliknya, kita perlu melipatgandakan usaha khususnya Wanita UMNO Sabah kerana bakal menghadapi PRN yang akan menentukan masa depan UMNO di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam hubungan itu, Noraini yang juga EXCO Wanita UMNO Pusat mengajak jentera Wanita UMNO Sabah agar bekerja keras dan mengatur strategi yang tepat ke arah mencapai kemenangan pada PRBmN itu nanti.
“PRN Sabah akan diadakan selewat-lewatnya Oktober tahun depan, bagaimanapun tidak mustahil ia diadakan lebih awal.
“Atas sebab itu Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti perlu bersedia memikul tugas serta amanah yang diberikan bagi memastikan UMNO mencapai kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Penampang, berkataWanita UMNO mempunyai tugas untuk menyantuni pengundi dan perlu turun padang memastikan pengundi kembali memberi kepercayaan kepada parti.
Tugas itu, katanya bukan sesuatu yang mudah, namun dengan semangat kerjasama dan muafakat, UMNO pasti mencapai kejayaan.
“Bukan satu kerja mudah, terutama dengan defisit kepercayaan dialami UMNO sejak PRU14, setiap sayap parti khususnya Wanita UMNO perlu komited dan fokus kepada perjuangan dan melakukan pembaharuan segera, terancang serta bersasar,” katanya. – Info X