Search

PRN17: Inanam jadi tumpuan ramai calon

October 25, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerusi DUN Inanam dijangka menyaksikan pertandingan 10 penjuru pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17), 29 November depan.

Penyandang kerusi berkenaan, Datuk Peto Galim yang dijangka dicalonkan semula atas tiket Pakatan Harapan (PH) bakal dicabar sekurang-kurangnya sembilan calon lain, setakat ini.

Antara pencabarnya ialah Parti Warisan yang dijangka meletakkan bekas calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk William Majimbon atau anak saudaranya, Edna Majimbun yang juga anak bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun.

William dan Edna, kedua-duanya bekas Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri (MAN) Kota Kinabalu, masing-masing diumumkan menyertai Warisan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada awal bulan ini dan September lalu.

Adik Edna pula, Shone Majimbun turut disebut-sebut bakal bertanding di kerusi DUN Inanam atas tiket bebas di bawah kumpulan Gelombang Hitam yang digerakkan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), September 2020, Peto memenangi kerusi DUN Inanam dengan majoriti 5,638 undi setelah mendapat 8,586 undi menewaskan pencabar terdekatnya dari PBS, Datuk William Majimbon yang mendapat 2,948 undi.

Ketika itu, Peto berdepan saingan 10 penjuru dengan antara calon lain pada masa itu ialah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Kenny Chua yang bertanding calon bebas.

Kali ini, Peto sekali lagi dijangka berdepan ramai saingan dengan sembilan nama disebut-sebut bakal menentangnya untuk merebut kerusi berkenaan pada PRN17 yang dijadualkan pada 29 November depan.

Selain Edna atau William dan Shone, Kenny yang kini bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) turut dijangka mencabar Peto untuk kali kedua, kali ini atas tiket STAR.

Seorang lagi bekas ADUN Inanam, Datuk Dr Roland Chia yang pernah menyandang kerusi itu atas tiket PKR dari 2013 hingga 2018 juga disebut-sebut bakal bertanding calon bebas.

Nama lain yang turut disebut bakal bertanding di kerusi DUN Inanam ialah Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Inanam, Datuk George Guntarik dan Ketua Bahagian Parti Impian Sabah (PIS) Inanam, Paul Anap.

Turut disebut ialah nama seorang bekas Guru Besar, Martin Sibit yang dijangka bertanding tiket bebas dan Cecily Wilfred Gismin dari Parti Aspirasi Rakyat.

Seorang lagi calon yang mengumumkan diri untuk bertanding di kerusi DUN Inanam ialah Timbalan Presiden Parti Perjuangan Rakyat, Datuk Peter Chia.

Jika semua mereka tampil pada hari penamaan calon 15 November depan, kerusi DUN Inanam sekali lagi bakal menyaksikan saingan yang sengit dengan 10 penjuru, sama seperti PRN16 pada 2020.

Pengundi DUN Inanam majoritinya terdiri daripada pengundi Bumiputera bukan Islam yang mewakili kira-kira 50 peratus dengan jumlah terkini pengundi keseluruhan lebih 45,000 orang. – Info X