Search

PRN17: Wartawan, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat cabar Warisan di Darau

October 25, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wartawan dijangka antara calon yang bakal mencabar kedudukan Parti Warisan di kerusi DUN Darau pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRN17) pada 29 November depan.

Ketua Pengarang Nabalu News, Fardy Bungga disebut-sebut antara nama dipertaruhkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) jika parti itu membuat keputusan bertanding di kerusi berkenaan.

Jika sah, beliau yang juga Ketua Pemuda UPKO Sepanggar adalah antara bakal calon mencabar penyandang kerusi berkenaan, Azhar Matussin yang memenanginya atas tiket Warisan pada PRN16, September 2020.

Turut dijangka bertanding ialah Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi.

Difahamkan, kerusi itu turut diintai Perikatan Nasional (PN) dengan Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU Sabah, Khairil Anuar disebut sebagai calon berpotensi gabungan itu.

Sebelum ini, PKR juga dikhabarkan mahu bertanding di kerusi DUN Darau dan antara nama yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Sepanggar yang juga Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, selain bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Taufik Yap Yun Hin.

Namun, kedua-duanya menafikan bakal dicalonkan di kerusi berkenaan, malah Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dilaporkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi, termasuk di DUN Tempasuk, Kota Belud yang pernah ditandinginya atas tiket PKR tetapi kecundang pada pilihan raya lalu.

Difahamkan, jika PKR mahu meletakkan calon di Darau, antara nama berpotensi ialah Timbalan Ketua Cabang PKR Sepanggar, Ramlan Naim; Pengarah Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sepanggar, Raffee Jefree.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) yang menjadi pencabar terdekat Warisan pada PRN16 dijangka sekali lagi meletakkan calon jika gabungan itu enggan menyerahkan kerusi berkenaan kepada Pakatan Harapan (PH) menerusi kerjasama BN-PH pada PRN17.

Selain itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dan beberapa lagi parti kecil lain turut dijangka meletak calon, selain kemungkinan calon bebas, namun siapa calon belum ada nama pemimpin yang diumumkan secara rasmi setakat ini.

Pada PRN16 September 2020, kerusi DUN Darau yang ketika itu dipertandingkan buat julung kali menyaksikan pertembungan enam penjuru dan dimenangi Azhar selaku calon Warisan dengan majoriti 562 undi setelah mendapat 5,805 undi menewaskan pencabar terdekat dari BN, Datuk Jumat Idris yang mendapat 5,243 undi.

Menjelang penamaan calon pada 15 November depan, kerusi DUN Darau dijangka menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan empat atau lima penjuru dengan seramai 33,016 pengundi bakal menentukan siapa calon yang akan mewakili mereka selepas PRN17 yang dijadualkan pada 29 November depan. – Info X