Search

PRN17: Japlin lawan Salleh di Usukan?

January 5, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Usukan, Datuk Japlin Akim, menegaskan GRS paling layak dan sesuai untuk mewakili rakyat di kawasan berkenaan.

“Kita tidak akan berkompromi lagi, kita akan pastikan Usukan menjadi milik GRS pada pilihan raya akan datang dan ini adalah pendirian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Solidariti Mendepani PRN-17 di Dewan Terbuka Datuk Japlin, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Dr Davina menyerahkan kerusi roda kepada Japlin sambil diperhati Nizam.

Beliau berkata, Gagasan Rakyat Usukan sudah membuat segala persiapan dan akan terus bergerak bagi memastikan kerusi DUN Usukan menjadi milik GRS.

Katanya, melalui wakil GRS sahaja segala permasalahan dan keperluan rakyat di DUN Usukan akan lebih terbela selain meningkatkan lagi kemudahan yang ada.

Ketika ini DUN Usukan disandang Bendahari UMNO Sabah yang juga bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Japlin juga adalah bekas penyandang kerusi berkenaan dari 2004 hingga 2013 dan dari 2018 hingga 2020.

Beliau memberi laluan kepada Salleh pada PRN September 2020 menerusi kerjasama GRS dengan Barisan Nasional (BN) pada masa itu bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Parti Warisan.

Sementara itu, Nizam berkata, Warisan adalah kerajaan paling gagal ketika menerajui Sabah selama dua tahun (2018-2020).

“Apa juga yang dibuat oleh GRS, Warisan ‘mengclaim’ itu adalah usaha mereka. Ibarat lembu punya susu sapi dapat nama.

“Ketua Menteri sekarang Datuk Hajiji banyak buat pembaharuan untuk kemajuan dan kesejahteraan serta memacu masa depan rakyat Sabah,” katanya.

Nizam mengingatkan agar rakyat tidak mudah terperdaya dengan kata-kata manis pembangkang kerana hanya tahu berbohong kepada rakyat serta berjanji di sana sini.

Beliau berkata, politik Sabah kini semakin stabil di bawah kerajaan pimpinan Hajiji dan sewajarnya rakyat terus memberikan mandat untuk terus menerajui kerajaan demi kesejahteraan semua.

Pada majlis itu, Japlin turut menerima lima kerusi roda daripada Pengerusi Biro Kesihatan Wanita Gagasan Rakyat, Dr Davina Markus Majihi. – Info X