TENOM: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menjadikan Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2025 dan perayaan lain sebagai antara pendekatan parti itu untuk menyantuni rakyat di Sabah.
Semalam, UPKO Melalap menganjurkan program itu di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, dihadiri penduduk dari sekitar DUN Melalap dan daerah ini.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata memulakan program seumpama itu sejak beberapa tahun lalu sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu, Hari Raya dan Pesta Kaamatan atau perayaan kebudayaan lain.

“Kita laksanakan program ini sepanjang tahun sebagai antara sumbangan UPKO kepada perpaduan rakyat dan keharmonian kaum.
“Melalui program ini, kita mahu memupuk kebersamaan bukan hanya di kalangan pemimpin Malaysia daripada Sabah tetapi lebih penting memupuk kebersamaan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata kementeriannya melalui Yayasan Bank Rakyat (YBR) melaksanakan program pembangunan khas pendidikan di Sabah, bermula tahun ini.
Katanya, program Ehsan@KUSKOP itu dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Program Santuni MADANI Kuskop Bersama Komuniti Kota Belud sempena Rumah Terbuka Krismas Kadamaian, baru-baru ini.
Beliau berkata, YBR menyalurkan peruntukan sRM3 juta untuk tujuan itu dan tempoh pelaksanaan adalah setahun, bermula tahun ini.
Jelasnya, Ehsan@KUSKOP adalah program pembangunan pendidikan bertujuan menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan.
Inisiatif ini juga katanya, bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di kalangan pelajar kurang bernasib baik terutamanya di kawasan luar bandar.

“Saya agak kecil hati setiap kali mendengar Sabah dilaporkan memiliki daftar kemiskinan tegar yang tinggi tetapi daripada saya mencari ruang siapa silapnya, saya mengambil pendekatan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah kemiskinan di Sabah dengan memperkenalkan Ehsan@KUSKOP.
“Melalui peruntukan daripada YBR, kita akan membiayai kos pengangkutan pelajar yang tersenarai dalam e-Kasih supaya tiada lagi alasan ibu bapa tidak menyekolahkan anak mereka.
“Selain itu, kita juga akan memberikan bantuan awal pengajian, bantuan awal persekolahan, tuisyen dan bantuan-bantuan lain yang diperlukan oleh pelajar berkenaan.
“Sebagai pilot projek, kementerian memilih tiga daerah yang dikategorikan mempunyai daftar kemiskinan tegar yang tinggi iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat,” katanya. – Info