KOTA KINABALU: BN Sabah menyifatkan tawaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengembalikan jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM) mewakili masyarakat Cina jika menang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebagai gula-gula politik.
Setiausaha Politik Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua Pemuda MCA Sabah, Roger Yapp Kah Chong, berkata tawaran menjelang PRN17 yang tidak lagi lama itu menunjukkan GRS tidak ikhlas menawarkan jawatan berkenaan.
“Jika benar ikhlas, mengapa tidak melantik seorang Timbalan Ketua Menteri dari kalangan masyarakat Cina sejak kerajaan ini mula dibentuk? Ketika itu beliau mempunyai kuasa penuh untuk berbuat demikian.
“Mengumumkannya sekarang hanya mendedahkan agenda tersembunyi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahad lalu Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan akan mengembalikan jawatan TKM Cina jika GRS kembali membentuk kerajaan dan ramai pemimpin Cina mewakili gabungan itu menang pada PRN17 nanti.
Roger menegaskan, tindakan Hajiji itu jelas menunjukkan pentadbiran GRS lebih mengutamakan kedudukan politik berbanding rakyat.
“Ini bukan keikhlasan, ini politik bermusim. Rakyat Sabah tidak perlukan janji kosong yang hanya muncul apabila kuasa mereka terancam. Rakyat perlukan dasar yang konsisten dan benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan harian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat sudah muak dengan kerajaan yang sering dikaitkan dengan skandal dan masalah integriti.
“Apabila lebih banyak masa dihabiskan untuk tawar-menawar jawatan daripada menyelesaikan isu asas seperti kos sara hidup, masalah air, elektrik dan infrastruktur, jelas keutamaan mereka bukan rakyat tetapi kuasa.
“Apa yang Sabah perlukan ialah kerajaan stabil dengan pasukan berpengalaman, yang mampu bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan sebenar.
“Tawaran Hajiji hanyalah gimik politik bagi menutup kegagalan pentadbirannya,” katanya. – Info X