Search

RM576 juta lesap angkara jenayah komersial di Sabah

September 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Sabah merekodkan lebih 7,200 kes jenayah komersial sejak Januari 2023 hingga Ogos tahun ini dengan kerugian mencecah lebih RM576.7 juta, sekali gus menggambarkan ancaman serius terhadap keselamatan kewangan dan digital masyarakat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rani Alias berkata, berdasarkan statistik pada 2023 menyaksikan 2,474 kes dilaporkan dengan kerugian lebih RM83.4 juta.

“Angka itu meningkat pada 2024 apabila 2,733 kes direkodkan membabitkan kerugian hampir RM280 juta.

“Bagi Januari hingga Ogos 2025 pula, sebanyak 2,057 kes dicatat dengan kerugian lebih RM213 juta.

“Secara keseluruhan, kerugian dalam tempoh tiga tahun ini mencecah RM576,784,231.92,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPK Sabah, pada Rabu.

Abd Rani berkata, peningkatan kes dipengaruhi taktik penipuan dalam talian yang semakin licik termasuk pelaburan tidak wujud, panggilan telefon scam dan jenayah perbankan digital.

Menurutnya, tiga pendekatan utama digerakkan untuk membanteras jenayah berkenaan iaitu kerjasama berpasukan, peningkatan ilmu siasatan digital dan langkah pencegahan melibatkan komuniti, bank, syarikat telekomunikasi serta platform e-dagang.

“Modus operandi penjenayah semakin kreatif dan canggih. Hanya dengan strategi bersepadu merangkumi penguatkuasaan, pendidikan dan pencegahan, barulah kita mampu melumpuhkan jenayah ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah yang diterajui Superintenden Raduan Othman atas usaha menumpaskan pelbagai sindiket serta melaksanakan program kesedaran masyarakat.

“Penipuan dalam talian, skim pelaburan, e-dagang dan Macau Scam masih menjadi kes utama yang perlu diberi perhatian serius.

“Kerugian bukan saja membebankan mangsa, malah menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem kewangan dan keselamatan digital negara. Komitmen pegawai dan anggota JSJK yang bekerja siang malam tanpa mengenal penat amat saya hargai,” katanya. – Info X