Search

PRN17: Kerjasama parti nasional dan parti tempatan lebih stabil, berdaya tahan – Salleh

July 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak mendakwa ramai melihat kerjasama di antara parti nasional dan parti tempatan sebagai lebih stabil dan berdaya tahan.

Beliau berkata, ia adalah antara tiga pendekatan yang boleh dijadikan pilihan oleh rakyat Sabah dalam menentukan kerjasama politik di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Dalam politik Sabah hari ini, terdapat tiga pendekatan utama. Pertama, gabungan yang terdiri daripada parti-parti tempatan sahaja.

“Kedua, parti nasional tanpa penglibatan parti tempatan, manakala yang ketiga, kerjasama antara parti nasional dan parti tempatan.

“Ramai melihat pendekatan ketiga sebagai jalan yang lebih stabil dan berdaya tahan. Ia menggabungkan kekuatan akar umbi dengan jaringan persekutuan yang lebih luas,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook beliau pada Khamis.

Bendahari UMNO Sabah itu berkata, dalam isu hak Sabah (MA63), turut wujud dua pendekatan berbeza, yang mana satu pihak cenderung memilih slogan keras dan pendekatan konfrontasi, manakala satu lagi pihak memilih jalan rundingan dan proses yang tersusun.

Jelasnya, rundingan mungkin perlahan tetapi ia telah mula menunjukkan hasil dengan kemajuan sedang berlaku, walaupun tidak selalu kelihatan secara langsung.

“Perjuangan menuntut hak Sabah di bawah MA63 bukan milik mana-mana parti politik semata-mata. Ia adalah hak dan harapan seluruh rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang, kepercayaan atau kecenderungan politik.

“Perjuangan sebenar bukan tentang siapa paling lantang bersuara, tetapi siapa yang benar-benar mampu membawa hasil yang bermakna kepada rakyat.

“Yang paling penting ialah memilih pendekatan yang membawa kesan nyata, yang mengukuhkan institusi, mempertahankan hak negeri dan membawa perubahan jangka panjang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, berkata rakyat Sabah hari ini mahukan pembangunan yang benar-benar boleh dirasai.

Katanya, pembangunan bukan sekadar angka atas kertas tetapi perubahan yang menyentuh kehidupan seharian seperti jalan raya yang lebih baik, peluang pekerjaan yang wujud dan kemudahan asas yang menyeluruh.

“Rakyat juga tidak hanya mahu diberi pancing. Mereka mahu tahu di mana letaknya ikan, bagaimana mencarinya dan bagaimana menggunakan teknologi untuk meningkatkan hasil.

“Yang mereka cari ialah kemajuan yang terbukti dan masa depan yang diyakini,” katanya. – Info X