KOTA KINABALU: Projek Pembinaan Semula Jambatan Pekan Tuaran–Sungai Damit di Tuaran akan bermula pada awal September 2025 setelah diluluskan di bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Perkembangan itu dinyatakan Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis terhadap pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa.
Projek yang dikendalikan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Wilayah Sabah (SEDIA) itu membabitkan peruntukan sebanyak RM30 juta dan akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah selaku agensi pelaksana.
“Ketika ini, projek berada di peringkat akhir proses pelantikan kontraktor yang dijangka dimuktamadkan pada Ogos 2025.
“Tempoh pembinaan ditetapkan selama 18 bulan dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027,” kata kementerian berkenaan.
Dalam soalannya, Madius meminta penjelasan berhubung status projek jambatan berkenaan serta anggaran tarikh mula dan siap kerja-kerja pembinaan semula.
Ketika Sesi Kamar Khas pada 2023, Kementerian Ekonomi memaklumkan projek itu yang diluluskan pada 24 Mac 2017 di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) akan dirobohkan selepas kajian yang dibuat mendapati strukturnya tidak selamat untuk digunakan.
Jawatankuasa Task Force Damit yang ditubuhkan pada September 2022 menyarankan supaya jambatan baharu dibina di lokasi yang sama setelah jambatan sedia ada dirobohkan berdasarkan justifikasi nilai untuk wang, ketahanan (durability) struktur dan keselamatan pengguna.
Pembinaan jambatan yang dimulakan pada 20 April 2018 itu sepatutnya siap pada 19 Oktober 2019, namun strukturnya didapati tidak selamat berikutan bahagian tengah lantainya kelihatan terturun. – Info X