Search

PRN17: Pandikar mungkin ke Tanjong Kapor atau Banggi

February 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mungkin berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Kapor atau Banggi jika bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17)..

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, perkara itu bukan masalah kerana ia pernah dilakukan oleh pemimpin lain, termasuk pengasas USNO sendiri Tun Datu Mustapha Datu Harun.

“Kalau Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh pindah dari Permatang Pauh ke Port Dickson, Lim Kit Siang dari Melaka ke Pulau Pinang, sudah sampai masanya mungkin saya pilih kawasan.

“Kalau Tun Mustapha dulu dari Kudat boleh bertanding di Usukan kami kasih menang, tidak hairan kalau saya tanding di Tanjung Kapor atau Banggi. Politik ini bukan susah, senang (saja), sama ada menang atau kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jelajah USNO Peduli Rakyat Zon 3 di Inanam, dekat sini, hari ini.

Pandikar ditanya sama ada bertanding semula di kerusi DUN Pintasan yang ditandinginya pada PRN16, September 2020.

Pada masa itu Pandikar tewas t
di tangan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekarang, Datuk Fairuz Renddan dengan majoriti 84 undi.

Jika bertanding pada PRN17, Pandikar dijangka menggunakan lambang GRS, berbanding lambang USNO pada PRN16.

Pandikar berkata beliau masih layak untuk bertanding dan menyifatkan dirinya sebagai calon boleh menang, namun belum membuat keputusan muktamad.

“Saya tidak boleh cakap bertanding atau tidak, ikut keadaan. Kalau keadaan saya nampak ramai orang tua bertanding, saya tidak malu bertanding kerana semua tua-tua.

“Kalau yang bertanding semua (umur) 28 tahun, saya pula terhegeh-hegeh mahu bertanding, malulah saya sendiri.

“Saya masih kuat walaupun bertongkat, saya layak bertanding, saya calon boleh menang, saya boleh bercakap dan saya tiada hal lain, jadi saya rasa layak bertanding. Tapi terpulang kepada saya bertanding atau tidak atau dicadangkan oleh parti atau tidak,” katanya.

Mengenai jumlah kerusi yang bakal diwakili USNO pada PRN17 nanti, beliau berkata perkara itu belum dapat didedahkan kerana masih dalam perbincangan.

Bagaimanapun, katanya beliau diberi bayangan oleh Hajiji selaku Pengerusi GRS mengenai tumpuan USNO pada pilihan raya nanti di kawasan pesisir pantai, iaitu kubu Parti Warisan.

Antara yang disebutnya ialah Kunak, Sekong, Tanjung Kapor dan Banggi. – Info X