KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulangi komitmennya untuk terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pemangku Presidennya, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata belum sampai masanya untuk PBS kembali berjuang sendiri pada pilihan raya akan datang.
Jelasnya, kepemimpinan PBS sedar mereka perlu mencari rakan yang mempunyai ideologi politik sama bagi membentuk gabungan dan sudah menemuinya dalam GRS.
“Senario politik sekarang berbeza berbanding pada masa lalu, sekarang saya percaya belum masanya untuk kita menjadi hero berjuang sendiri.
“Kita tidak boleh menang sendiri dan atas sebab itu kita mesti cari kawan dengan ideologi yang sama dan kita sudah jumpa rakan seperti ini dalam GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena sambutan Ulang Tahun PBS Ke-40, di sini, malam tadi.

Hadir sama pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili serta kira-kira 1,00 ahli dan pemimpin PBS dari 73 bahagian parti itu di seluruh negeri.
Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata PBS meyakini GRS sebagai gabungan yang mampu menstabilkan politik Sabah demi kesinambungan pembangunan negeri.
“Kita selesa bekerjasama dengan GRS dan tidak teragak-agak menjadi sebahagian daripada keluarga besar GRS, kita kekal komited dengan perjuangan dan misi serta visi GRS.
“PBS adalah antara pengasas GRS dan GRS bukan hanya untuk kepentingan peribadi atau politik tetapi demi masa depan Sabah.
“Kita pilih GRS kerana ia membawa harapan dan kemajuan yang nyata. Kita percaya semangat dan visi jelas GRS mampu membawa Sabah ke arah pembangunan lebih pesat,” katanya.
Katanya, PBS akan kekal bersama dan tetap bersatu di bawah naungan GRS walaupun ada pihak yang cuba untuk memecah belah parti itu sejajar kedudukan GRS sebagai gabungan yang berasaskan parti tempatan. – Info X