Search

Keahlian UMNO Shahelmey sah digantung – Jeffrey Nor

March 6, 2025

Info X Reporters

KALABAKAN: Penggantungan keahlian UMNO Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang dimaklumkan sebelum ini adalah sah.

Perkara itu dijelaskan Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed sebagai mengulas dakwaan Shahelmey baru-baru ini yang mengatakan status keahliannya masih aktif.

Jeffery berkata, Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berhak membuat kenyataan berkenaan, namun status penggantungannya tidak berubah.

Jelasnya, soal penggantungan itu adalah kuasa autonomi UMNO Sabah dan keputusan itu perlu diterima UMNO Pusat.

“Keputusan keahlian UMNO ini mengikut kuasa autonomi UMNO Sabah kerana keahlian ada di UMNO Sabah.

“Maksudnya, pimpinan di UMNO Malaysia juga perlu menerima nasihat daripada kepimpinan UMNO negeri tentang keahlian mana-mana individu.

“Tidak kisah sama ada Yang Berhormat ataupun orang biasa. Bagi kita, semuanya adil. Jadi apa yang telah dinyatakan baru-baru ini oleh Ketua UMNO Sabah (Datuk Seri Bung Moktar Radin) itulah kenyataan yang saya anggap rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program FELCRA MADANI Santuni Rakyat 2025 di Kampung Kalabakan, di sini, semalam.

Hadir sama penyelaras UMNO Sebatik, Hady Syam Nuredin.

Sebelum ini, laporan media menyebut bahawa Shahelmey menegaskan keahliannya dalam UMNO masih aktif di peringkat pusat.

Pada 2023, Bung Moktar memaklumkan penggantungan keahlian Shahelmey dan beberapa lagi bekas wakil rakyat UMNO selama enam tahun.

Ia berikutan tindakan pemimpin terbabit yang tidak mematuhi keputusan UMNO Sabah menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada Januari 2023, Bung Moktar mengumumkan keputusan UMNO Sabah menamatkan kerjasama dengan GRS atas alasan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. – Info X