PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan keinginan untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Pemangku Presidennya, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata selain mempertahankan tujuh kerusi yang dimenangi pada PRN 2020, PBS juga mahu bertanding di kerusi lain yang pernah menjadi kubu tradisinya.
Jelasnya, sebagai parti yang mewakili semua kaum, PBS yakin kekuatan kepelbagaian itu menjadi asas kepada kemenangan yang lebih besar parti itu dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 nanti.
“Persiapan menghadapi PRN17 adalah satu fasa penting dalam memastikan Sabah terus berada di landasan politik yang stabil dan kukuh.
“PBS, dengan kekuatan dan pengalaman yang dimiliki, bertekad untuk mempertahankan tujuh kerusi yang dimenangi sebelum ini dan bersedia untuk meluaskan pengaruh dengan meraih lebih banyak kerusi pada PRN akan datang.
“Tumpuan kita khususnya di kerusi tradisi yang masih memiliki jentera dan penyokong kuat. Sebagai parti yang mewakili semua kaum, PBS yakin kekuatan kepelbagaian ini menjadi asas kemenangan lebih besar,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-39, di sini, hari ini.
Persidangan yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan PBS itu dirasmikan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata dalam konteks itu, perundingan awal pembahagian kerusi yang teliti perlu diadakan dalam kalangan parti komponen GRS.
“Perancangan yang rapi ini bagi memastikan tiada pertindihan atau perpecahan undi yang boleh memberi kelebihan kepada parti lawan.
“Lebih penting lagi, GRS harus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pejuang hak-hak rakyat Sabah dengan bertanding sebanyak mungkin kerusi dan mengelakkan dominasi parti luar yang mungkin tidak memahami aspirasi sebenar rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, PBS percaya jika GRS berjaya mengekalkan perpaduan dan mengelakkan sebarang konflik dalaman, gabungan itu mampu meraih majoriti kerusi pada PRN17.
Katanya, ia bukan saja memastikan kestabilan politik, malah memberi peluang terbaik untuk memperbetul kelemahan yang melanda politik Sabah selama ini. – Info X