Search

PRN17: GRS terbuka bincang kerjasama termasuk dengan BN

October 29, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbuka untuk berbincang dengan semua parti, termasuk Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS, berkata perbincangan dengan parti lain dibuat atas pertimbangan kebaikannya kepada negeri.

“Apa yang penting ialah untuk kebaikan Sabah, jadi kita terbuka bincang dengan semua parti termasuk BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-39, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kerjasama BN dan PH untuk menghadapi PRN17.

Dalam kenyataannya semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kerjasama BN dan PH sudah dimuktamadkan dan ia menjadi asas untuk menghadapi PRN17 Sabah.

Beliau turut menyatakan kemungkinan kerjasama dengan GRS bagi mengukuhkan kekuatan memenangi PRN17.

Bagaimanapun, Hajiji berkata ketika ini GRS lebih menumpukan kepada kekuatannya sebagai gabungan parti tempatan yang selari dengan kehendak rakyat Sabah.

“Kita kena fikir kekuatan GRS, jadi nanti saya lihat macam mana, saya tidak boleh komen kerana itu pandangan beliau (Ahmad Zahid).

“Tapi, apa yang kita tekankan ialah perpaduan parti komponen GRS. Kerajaan sekarang, GRS-PH Plus juga cukup mantap, ada kerjasama baik antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata pemimpin parti komponen GRS akan bermesyuarat bulan depan bagi membincangkan persediaan menghadapi PRN17, termasuk berkaitan agihan kerusi. – Info X