Search

PRN17: Rekod prestasi jadi sandaran GRS

September 30, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggunakan rekod prestasinya selama mentadbir Sabah sejak 2020 sebagai sandaran memenangi hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata perkara itu menjadi asas kepada mana-mana parti politik dalam memberi khidmat dan panduan rakyat membuat keputusan pada pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau berkata GRS berusaha melakukan yang terbaik sepanjang pentadbirannya yang masih berbaki kira-kira setahun lagi sebelum tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.

“Kita menggerakkan usaha kerana bagi kita apa yang penting untuk kita berhadapan dengan rakyat ini adalah ‘track record’ kita.

“Itu kekuatan kita dan itulah juga sepatutnya menjadi asas kepada mana-mana wadah politik yang ingin menawarkan khidmat kepada rakyat kerana semua parti politik yang ada di Sabah ini termasuklah GRS sudah pernah mendapat mandat untuk memimpin kerajaan negeri.

“Jadi saya yakin dengan adanya ‘track record’ GRS dan kita ada tempoh lagi dalam lebih kurang setahun ini untuk kita memperkemas dan melonjakkan gerak kerja kita, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas, di sini, petang semalam.

Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata komunikasi yang efektif dengan rakyat penting bagi menerangkan rekod pencapaian GRS.

“Kita perlu menerangkan bahawa inilah ‘track record’ GRS yang kita ingin tawarkan dan kita tunjukkan kepada rakyat mengapa mereka perlu terus memberikan keyakinan kepada GRS untuk terus memimpin kerajaan negeri bersama mana-mana rakan, termasuk Pakatan Harapan (PH) yang ada dalam kerajaan negeri pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata setakat ini GRS belum memulakan perundingan mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen dan rakan kerjasamanya.

Jelasnya, tumpuan ketika ini adalah untuk menyelesaikan isu rakyat dan menggerakkan agenda SMJ yang dirancang kerajaan negeri.

“Masing-masing sudah ada kerusinya sebelum ini, ada juga kerusi yang mungkin perlu dirundingi tetapi apapun, bagi saya pada peringkat ini bukan soal kerusi.

“Soalnya ialah bagaimana kita meyakinkan rakyat dan memastikan mandat yang diberi sebelum ini dapat ditunaikan sebaik mungkin kerana Sabah masih berdepan pelbagai isu legasi seperti air, elektrik dan jalan raya yang perlu kita selesaikan.

“Alhamdulillah kita sudah ada usaha, strategi dan pendekatan melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang diumumkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting projek untuk menyelesaikan masalah itu sudah mula bergerak dan bukan sekadar perancangan di atas kertas dengan ada yang boleh siap dalam tahun ini dan tahun depan.

“Ada yang mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun tetapi peruntukannya sudah tersedia dan kita optimis dapat membawa perubahan yang bernilai dan bermakna untuk rakyat di Sabah,” katanya. – Info X