Search

PRN17: Sabah paling tidak stabil di bawah Warisan – UMNO

October 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mendakwa negeri ini berada dalam keadaan paling tidak stabil ketika di bawah pentadbiran Parti Warisan dari 2018 hingga 2020.

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata kestabilan politik adalah asas kemakmuran rakyat, namun perkara itu gagal diwujudkan ketika Warisan memerintah.

“Warisan membentuk kerajaan pada 2018 bukan kerana mandat rakyat, tetapi hasil pengkhianatan enam ADUN Barisan Nasional (BN) yang melompat parti.

“Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak bertahan lama. Warisan tumbang dengan cara yang sama akibat budaya lompat parti yang mereka sendiri mulakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata wajah sebenar politik Warisan penuh helah, tanpa prinsip dan sanggup menggadai kepercayaan rakyat demi kuasa sementara.

“Selama 26 bulan pemerintahan Warisan, Sabah lumpuh. Dasar bertukar arah setiap bulan, pelabur hilang keyakinan dan pembangunan terhenti separuh jalan.

“Ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi dan pandemik COVID-19, kepimpinan Warisan pula sibuk berpolitik dan berebut kuasa.

“Undang-undang anti-lompat parti yang diwujudkan selepas kejatuhan Warisan menjadi bukti jelas betapa tindakan mereka telah merosakkan integriti demokrasi,” katanya.

Jelasnya, apa yang dianggap oleh Warisan sebagai strategi politik menjadi pengajaran besar kepada seluruh negara bahawa kerajaan yang dibina atas pengkhianatan tidak akan kekal.

Beliau mengumpamakan situasi ketika era Warisan seperti peribahasa ‘rumah tanpa tiang akan roboh’.

‘Begitulah Warisan kerajaan tanpa tiang kepercayaan rakyat. Mereka bukan pagar yang menjaga padi, tetapi pagar yang memakan padi.

“Warisan perlu bercermin. Kegagalan mereka bukan kerana orang lain, tetapi kerana kerakusan sendiri,” katanya.

Sebaliknya, Suhaimi berkata BN Sabah komited mempertahankan kestabilan dan menolak politik khianat yang memecahbelahkan rakyat.

“Sabah tidak boleh lagi dijadikan pentas politik katak. Cukuplah rakyat menjadi mangsa kerakusan kuasa Warisan.

“Hanya kerajaan yang stabil dan berprinsip mampu membawa Sabah ke arah kemajuan sebenar,” katanya. – Info X