Search

PRN17: Anak Ellron, Robert diumum calon STAR di Tulid dan Bingkor

October 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua anak pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diumumkan sebagai calon parti itu selepas bapa masing-masing menyatakan kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setelah STAR keluar dari gabungan itu.

Pemimpin terbabit, Datuk Ellron Angin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook dan Datuk Robert Tawik (Bingkor) tidak mengikut jejak Presiden mereka, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang membawa STAR bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Anak Ellron, yang juga Ketua Exco Wiramuda STAR, Jordan Jude Ellron, dinamakan sebagai calon parti itu di kerusi DUN Tulid yang disandang Ketua Wanita STAR, Datuk Flovia Ng.

Flovia turut bersama Ellron dan Robert kekal menyokong GRS dan meninggalkan Jeffrey, selain dua lagi iaitu Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

Anak Robert pula, Razzidin Robert yang juga Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR dinamakan sebagai calon STAR di kerusi DUN Bingkor yang disandang bapanya sendiri.

Kedudukan Robert bagaimanapun belum diputuskan sama ada dicalonkan semula atau tidak sebagai calon GRS bagi DUN Bingkor yang disandangnya sejak 2018 selepas menjadi ahli langsung GRS.

Difahamkan, keahlian Ellron dan Robert dalam STAR sudah terlucut selepas tempoh yang ditetapkan Jeffrey untuk mereka kembali kepada STAR sudah tamat pada Selasa lalu.

Ellron dan Robert bersama Annuar, Flovia dan Abidin pada Selasa juga mengesahkan secara rasmi kekal menyokong GRS melalui satu kenyataan bersama, sekali gus menjelaskan kedudukan mereka tidak lagi bersama STAR.

Sebelum ini, Jeffrey menjelaskan jika kelima-lima penyandang kerusi STAR itu tidak kembali bersamanya, beliau akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan dengan mencalonkan anak muda STAR.

Tanpa disangka, anak muda yang dimaksudkan beliau itu adalah anak pemimpin yang meninggalkannya untuk kekal bersama GRS.

STAR terkeluar dari GRS apabila Jeffrey menyatakan hasrat partinya untuk bertanding solo menggunakan lambang sendiri ketika perjumpaan Majlis Presiden GRS di Sri Gaya awal bulan ini. – Info X