Search

PRN17: SPR diminta timbang undi pos rakyat Sabah di Semenanjung

October 10, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta menimbangkan cadangan melaksanakan undi pos bagi rakyat Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau ketika menyatakan sokongan terhadap cadangan itu, berkata permintaan itu bukan kali pertama tetapi sudah banyak kali diajukan pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Bersih.

“Ramai warga Sabah di Semenanjung menghadapi kesukaran untuk pulang ke kampung semasa pilihan raya disebabkan kesukaran mendapatkan penerbangan, tambang penerbangan yang tinggi, selain kesukaran mendapatkan cuti dan kekangan masa.

“Cadangan undi pos ini dapat membantu mereka menunaikan kewajipan terhadap negara tanpa menanggung beban yang besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyokong gesaan hari ini Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang menggesa SPR menimbangkan pelaksanaan undi pos bagi warga Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung.

Madius berkata, langkah itu wajar dilaksanakan bagi memastikan rakyat Sabah yang berada di luar negeri asal tidak terhalang daripada menunaikan tanggungjawab dan hak demokrasi.

Beliau yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, usaha memperluas akses kepada undi pos adalah langkah ke arah memperkukuh amalan demokrasi dan penyertaan rakyat dalam proses pilihan raya.

“Kita perlu memastikan hak mengundi dapat dinikmati oleh semua warga negara tanpa mengira lokasi mereka berada.

“Sistem undi pos yang telus dan selamat akan membolehkan lebih ramai rakyat Sabah mengambil bahagian dalam proses demokrasi,” katanya.

Madius berkata, cadangan berkenaan seiring dengan prinsip keadilan dan keterangkuman yang menjadi asas kepada sistem pilihan raya di negara ini yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan dan SPR.

Beliau turut menggesa supaya SPR dan kerajaan negeri meneliti keperluan undang-undang serta mekanisme pelaksanaan undi pos dengan segera, termasuk memperkenalkan sistem pengundian awal dan saluran maklumat kepada pengundi Sabah di luar negeri. – Info X