Search

PRN17: SPR buka tawaran jadi pemerhati pilihan raya

October 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Menerusi satu kenyataan, Pengerusi SPR, Datuk Khairil Shahril Idrus, berkata pemerhati pilihan raya berpeluang untuk melihat perjalanan pilihan raya bermula dari proses penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Permohonan untuk menjadi pemerhati pilihan raya mula dibuka pada 9 Oktober 2025 dan tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas SPR bagi PRU Dewan Undangan Sabah ke-17,” katanya.

Maklumat lanjut berhubung perkara itu boleh dilihat dalam portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my.

PRN17 Sabah diadakan berikutan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 6 Oktober lalu.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Oktober ini bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya, khususnya tarikh penamaan calon, undi awal dan hari pengundian biasa.

Mesyuarat itu setelah SPR menerima pemakluman rasmi pembubaran DUN Sabah Ke-16 daripada Speaker, Datuk Kadzim M Yahya pada 7 Oktober.

Berdasarkan perlembagaan negeri, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN. – Info X