Search

PRN17: Sambung rundingan kerusi PH selepas selesai pemilihan – PKR Sabah

April 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah menyambung semula rundingan kerusi PRN17 parti komponen Pakatan Harapan (PH) selepas selesai pemilihan peringkat cabang, kelmarin.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata perkara itu menjadi keutamaan bagi memuktamadkan agihan kerusi dalam PH.

Beliau berkata, pemimpin yang menang atau kalah pada pemilihan itu perlu merapatkan semula hubungan dalam parti bagi menghadapi PRN17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Saya menyeru kepada semua yang menang dan kalah agar merapatkan saf dan ikatan silaturrahim untuk kita bersedia menghadapi PRN17.

“Parti tidak mampu untuk terus bergolak dan menghilangkan fokus kita dalam memantapkan jentera pilihan raya dan motivasi perjuangan.

“PKR Sabah akan meneruskan rundingan dengan komponen PH untuk memuktamadkan kerusi-kerusi sebelum kita membuka ruang perbincangan kepada rakan yang ingin berkerjasama dengan kita seperti Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya, di sini.

Beliau mengulas pemilihan peringkat cabang PKR Sabah yang menyaksikan beberapa pemimpin lama tewas di tangan pemimpin baharu, kelmarin.

Sementara itu, Mustapha yang berjaya mempertahankan Ketua Cabang Kota Belud, mengingatkan pimpinan PKR yang bertanding pada pemilihan kali ini agar menyalurkan aduan mengenai keputusan pemilihan melalui saluran dalaman parti jika timbul perkara yang tidak memuaskan.

“Pihak Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JPP) akan meneliti setiap aduan dan membuat pengauditan,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan PKR kelmarin, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata pemilihan PKR peringkat negeri dijalankan dengan tertib dan aman.

“Setakat semalam (kelmarin), tiada kejadian yang tidak diingini berlaku seperti pemilihan sebelum ini.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ketua Cabang yang baharu dan yang lama kerana dapat mempertahankan amanah dan tanggungjawab berat yang bakal terus dipikul,” katanya. – Info X