Search

PRN17: Saya memperkenankan nasihat Hajiji bubarkan DUN – Tun Musa

October 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman memperkenankan nasihat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menerusi perkongsian di Facebook Tun Musa, beliau berkata pembubaran itu bagi membuka ruang kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya menerima kunjungan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri Kota Kinabalu.

“Dalam pertemuan itu, saya memperkenankan nasihat daripada Datuk Seri Panglima Hajiji untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Pembubaran itu, membuka ruang untuk Pilihanraya Negeri Sabah yang ke 17 diadakan,” katanya.

Semalam, Hajiji mengumumkan pembubaran DUN Sabah Ke-16 berkuatkuasa pada 6 Oktober 2025 setelah mendapat perkenan daripada TYT.

Berikutan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya menyatakan akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh penting proses pilihan raya.

SPR juga menyatakan sudah siap sedia untuk mengadakan PRN17 Sabah. – Info X