KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap sedia untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menerusi satu kenyataan, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata satu Mesyuarat Khas bagi menentukan tarikh penting pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat.
“SPR mengambil maklum berhubung dengan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Sabah (DUN) Ke-16 pada hari ini.
“SPR telah bersiap sedia untuk melaksanakan pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4), Perlembagaan Negeri Sabah.
“Satu Mesyuarat Khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Pembubaran DUN Sabah diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, hari ini. – Info X