Search

PRN17: UMNO / BN sedia tanding solo jika tiada kesepakatan – Bung Moktar

November 3, 2024

Info X Reporters

KUNAK: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah sedia menghadapi kemungkinan bertanding solo jika tiada kesepakatan untuk bergabung dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kemungkinan itu tetap ada walaupun sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa BN dan Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamad kerjasama.

Katanya, kenyataan beberapa parti tempatan dan pemimpin tertentu di negeri ini seolah-olah tidak menerima kerjasama itu, sekali gus membayangkan pendirian mereka untuk bergerak solo pada PRN17 nanti.

“Jika mereka bergerak solo, BN/UMNO Sabah tidak berhalangan, malah saya mengajak semua parti yang ingin bergerak secara solo dalam PRN akan datang agar bersiap sedia untuk menerima tentangan sengit dari kami (BN/UMNO),” katanya pada Program Gerak 17 UMNO bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, di sini, semalam.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah menegaskan UMNO/BN Sabah tidak sesekali gentar dan menasihati parti yang sudah mengumumkan tidak mahu bergabung atau mahu bergerak sendiri, agar bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah .

Bung Moktar bersama pemimpin UMNO / BN di DUN Kunak.

“Kebelakangan ini banyak kecendurangan parti tertentu di Sabah termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding secara bersendirian dalam PRN akan datang, saya cadangkan jangan tarik balik kenyataan tersebut, teruskan, biar kita bersabung seperti ayam jantan di gelanggang,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, BN/UMNO Sabah lebih suka kalau banyak parti mahu bertanding secara solo dan bagi menyifatkan ia bukan satu masalah kerana BN/UMNO Sabah sudah bersedia dan menyusun strategi yang baik dalam PRN kali ini.

“UMNO/BN adalah sebuah organisasi lengkap, jentera kita sudah bersedia. BN/UMNO sudah melalui beberapa siri PRN /PRK termasuk soal penipuan sudah kita lalui dan akan menjadi pengalaman serta pengajaran untuk kita lebih bersedia dan fokus bagi mencapai kejayaan,” katanya.

Dalam soal kerjasama dengan gabungan parti lain bagi menghadapi PRN17, beliau sekali lagi menegaskan pendirian UMNO/BN Sabah yang parti itu hanya akan menjalin kerjasama dengan parti yang lain bersandarkan prinsip menghormati perjanjian satu sama lain yang memberikan manfaat kepada parti dan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Jelasnya, pengalaman yang pernah dilalui BN dari proses gabungan sebelum ini yang menafikan sumbangan UMNO/BN mematangkan lagi kedudukan parti itu Sabah.

“Sebarang keputusan untuk bergabung dengan lain-lain parti tidak akan merugikan UMNO, yang penting UMNO Sabah perlu diperkuatkan terlebih dahulu,” katanya

Sebelum itu Bung Moktar turut melancarkan program yang sama bagi kawasan DUN Segama.

Berucap pada majlis itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan mengajak pemimpin dan ahli parti di semua peringkat agar memberikan keutamaan untuk memperkukuh parti terlebih dahulu.

Katanya, soal kerjasama atau bergerak secara solo akan ditentukan kemudian dan apa yang penting ketika ini UMNO/BN perlu memperkuatkan jenteranya sendiri .

“Sama ada kita akan bersama gabungan atau bersendirian menghadapi PRN akan datang itu bukan isu utama, keutamaan ialah kepada kekuatan dan persediaan UMNO/BN. Apabila kita bersatu dan kuat, UMNO/BN akan dihormati,” katanya. – Info X