Search

Tiada GDL, tayar botak antara kesalahan pemandu kenderaan perdagangan

November 3, 2024

Info X Reporters

RANAU: Menggunakan tayar botak selain tiada lesen kenderaan perdagangan (GDL) antara kesalahan yang dikesan dalam Operasi Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di Kilometer 7, Jalan Ranau – Telupid, di sini semalam.

Operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu, mengeluarkan sebanyak tujuh saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Ranau, Pemangku Superintendan Mursalin Mahmud berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau itu diketuai Inspektor Roland Ding.

Katanya, operasi dijalankan bagi memastikan semua pengguna jalanraya terutamanya pemandu serta pengusaha kenderaan berat dan kenderaan perdagangan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Hasil pemeriksaan, antara kesalahan yang dikesan ialah memotong di garisan berkembar, lesen tamat tempoh, tiada lesen GDL, tayar botak, tidak memakai tali pinggang keledar, dan tidak pamer sticker ‘L’.

“Saman turut dikeluarkan terhadap sebuah lori 10 tan selepas didapati menggunakan tayar botak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mursalin berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut berjaya menahan satu lelaki berusia warga tempatan berusia 41 tahun.

Katanya, suspek ditahan selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Suspek dibawa ke IPD Ranau untuk tindakan selanjutnya dan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X